Sambutan Hari OKU Rai Pencapaian, Sumbangan & Semangat OKU

Disiarkan pada 01 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan telah menyambut Hari Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Suarah Kota Samarahan dengan meriah, baru-baru ini.

Sambutan ini diadakan bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian golongan OKU dalam usaha membina masyarakat inklusif serta menggalakkan pemahaman dan sokongan semua lapisan masyarakat terhadap OKU.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Pelancongan merangkap Ahli MPKS, Kr Dr Florine Christy berkata, sambutan itu merupakan satu penghargaan kepada usaha dan dedikasi OKU.

“Saya amat bangga kerana dapat bersama-sama berkongsi kegembiraan dengan pelbagai pihak yang komited dalam meningkatkan kesejahteraan OKU di negara kita,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak berkepentingan yang membuktikan sokongan berterusan terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkukuhkan kepentingan OKU, khususnya di Daerah Samarahan.

Selain sukaneka, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Samarahan, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan enam pusat lain turut mempamerkan informasi berkaitan program pemulihan dan sokongan yang mereka tawarkan disamping memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai usaha-usaha pemulihan dan pendidikan khas bagi OKU.

Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Muhammad Zakeria Hattar, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Pengiraan Mohamad Najib Pengiran Mohamad serta tetamu jemputan lain.- EDISI UKAS