KANOWIT: Proses pemilihan Ketua Kaum harus mematuhi garis panduan yang ada untuk memastikan individu yang layak dan berwibawa menduduki jawatan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata peranan Ketua Kaum dalam setiap komuniti adalah penting, yang dilantik berdasarkan syarat yang telah ditetapkan dan diputuskan oleh panel yang diketuai oleh Tuan Residen.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Baru di Rumah Jepriten, Nanga Bekakap, Bejait pada Selasa.
Katanya, majlis ini menjadi simbol harapan baru bagi penduduk setempat dalam usaha mempertingkatkan taraf kediaman mereka.
Beliau turut berkongsi mengenai peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi projek-projek pembangunan, termasuk bantuan untuk meratakan tapak kediaman seperti rumah panjang atau penempatan berkelompok.
Tegasnya, sebarang permohonan peruntukan bagi projek ini memerlukan kelulusan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dilakukan.
Dalam usaha menyokong penduduk luar bandar, Anyi mengumumkan pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk bantuan pinjaman untuk membina rumah panjang sehingga RM50,000 bagi setiap pintu keluarga.
Selain itu, penduduk yang memiliki kediaman usang juga boleh memohon bantuan pembaikan melalui Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), yang bertujuan memastikan semua rakyat menikmati tempat tinggal yang selesa dan selamat.
Turut hadir Penghulu Dunstan Mandau, Penghulu Lembat Atau, Penghulu Pree Minggat serta tetamu lain.-EDISI UKAS