MUKAH: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah telah mengadakan Program Advokasi Kesedaran Undang-Undang Sosial bagi memperkukuhkan kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga serta memperkenalkan hukuman alternatif Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, menegaskan bahawa program ini penting untuk mendidik masyarakat, terutama ketua komuniti, tentang undang-undang sosial di bawah kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Program ini menggariskan peranan ketua masyarakat sebagai penyampai maklumat utama bagi kes-kes sosial, termasuk keganasan rumah tangga dan masalah gelandangan yang semakin membimbangkan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Advokasi Kesedaran Undang-Undang Sosial di Dewan Majlis Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Sarawak kini mencatatkan kes keganasan rumah tangga ketiga tertinggi di Malaysia, dengan 2,345 kes dilaporkan sejak 2020.
“Keganasan rumah tangga adalah jenayah yang boleh memusnahkan keharmonian masyarakat.
“Program seperti ini membantu masyarakat memahami bagaimana undang-undang seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) melindungi mangsa melalui Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan perintah mahkamah yang lain,” jelas Royston.
Mengenai program ini, beliau berkata ia bertujuan memperkenalkan hukuman alternatif PKM yang bertujuan mengurangkan kesesakan penjara dan memberi peluang kepada pesalah muda atau dewasa yang melakukan kesalahan kecil untuk berkhidmat kepada masyarakat, berbanding menjalani hukuman penjara.
“Dengan adanya hukuman PKM, pesalah yang sebelum ini digelar banduan kini menjalani pemulihan melalui aktiviti seperti mengecat, menanam bunga, dan menyertai kem jati diri.
“Ini membantu mengubah persepsi negatif masyarakat dan membina kembali kehidupan mereka dengan lebih positif,” tambah beliau.
Turut hadir Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng serta tetamu lain.-EDISI UKAS