Insentif ‘One-Off’ Galak JKKK Di Sarikei Tingkat Kesejahteraan Kampung

Disiarkan pada 01 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


SARIKEI: Sebanyak 25 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarikei menerima insentif ‘one-off’ sebanyak RM5,000 dari Kerajaan Sarawak, bertujuan memperkukuh kepimpinan kampung dan memperkasakan komuniti setempat.

Majlis penyampaian sijil kelulusan insentif ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya integriti dalam penggunaan dana sambil menambah insentif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga untuk menggalakkan penglibatan aktif JKKK dalam pembangunan kampung dan aktiviti komuniti.

“Setakat ini, 61 JKKK di Daerah Sarikei memohon, dengan 25 daripadanya diluluskan bagi DUN N.41 Kuala Rajang.

“Kami mahu kampung di bawah JKKK lebih bersih, tersusun, dan aman,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Intensif di Rooftop Bangunan IAC Bahagian Sarikei pada Khamis.

Sebagai insentif tambahan, Datuk Len memberi pengiktirafan kepada JKKK yang aktif seperti JKKK Bunga Tanjong, Kampung Selalang, JKKK Rh Johnnie, dan JKKK Jalan Century yang konsisten dalam menghantar laporan mesyuarat dan melaksanakan program komuniti.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk memastikan setiap JKKK bermesyuarat secara berkala dan memenuhi KPI yang ditetapkan bagi layak menerima Elaun Pengendalian Mesyuarat (EPM) dan Elaun Kehadiran Mesyuarat (EKM).

Turut hadir dalam majlis ialah Pemangku Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin, Pegawai Daerah Sarikei Louis Yeo Soon Guan serta tetamu lain.-EDISI UKAS