KUCHING: Program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) bakal memasuki era baharu dengan pengenalan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan pelesenan ejen serta syarat dan proses kelulusan yang lebih teliti.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penambahbaikan ini akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Menurutnya, program ini terbuka kepada semua warganegara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan mesti berumur 30 tahun ke atas.
"Peserta perlu membuka akaun simpanan tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak dengan jumlah deposit sebanyak RM500,000 bagi setiap permohonan termasuk pasangan dan tanggungan.
“Jumlah penempatan yang diperlukan bagi setiap pemohon pada kali ini termasuk yang berpasangan telah ditetapkan sebanyak RM500,000 sahaja,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, peserta S-MM2H diwajibkan menetap di Sarawak selama sekurang-kurangnya 30 hari setahun, walaupun tidak perlu berturut-turut.
“Kita akan lihat kembali sama ada mereka mematuhi 30 hari tinggal di Sarawak dan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar syarat untuk mereka diberi permit di bawah S-MM2H,” tegasnya.
Selain itu, ujarnya, peserta hanya dibenarkan bekerja sambilan dalam sektor profesional yang diluluskan seperti perbankan dan pendidikan dengan waktu kerja maksimum 20 jam seminggu.
“Peserta S-MM2H yang telah diluluskan dibenarkan membeli rumah di Sarawak dengan nilai sekurang-kurangnya RM600,000 untuk bahagian Kuching dan RM500,000 untuk bahagian lain.
"Peserta tidak boleh menjual harta tersebut sehingga mereka tinggal atau memegang harta tersebut sekurang-kurangnya selama 5 tahun,” tambahnya.
Selain itu, semua ejen yang mahu mengendalikan S-MM2H di Sarawak perlu memenuhi syarat ketat termasuk ekuiti minimum 51 peratus yang dimiliki oleh warga Sarawak dan tiada warganegara asing dibenarkan sebagai ahli lembaga pengarah dalam mana-mana syarikat pengendali S-MM2H.
Setiap pemohon juga dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan mesti dilindungi oleh insuran perubatan sepanjang tempoh S-MM2H mereka.
Dato Sri Abdul Karim menambah, penambahbaikan ini dilaksanakan bagi tujuan memastikan Sarawak lebih berdaya saing sebagai destinasi pilihan bagi S-MM2H.
Beliau berharap perubahan ini dapat mengurangkan spekulasi hartanah serta memberi impak positif kepada ekonomi tempatan melalui peningkatan deposit tetap dalam bank-bank tempatan yang kini mencecah RM77.55 juta.
Ujarnya, setakat ini terdapat 40 ejen berlesen di Sarawak dan semua ejen sedia ada perlu memohon semula pelesenan di bawah peraturan baharu.
Beliau berkata, meskipun bayaran pemprosesan ditetapkan pada RM5,000, ia dijangka memberi manfaat kepada pemain industri serta meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap pengurusan S-MM2H di peringkat negeri.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Abdul Halim Abang Naili serta tetamu kehormat lain. - EDISI UKAS