KAPIT: Projek pembinaan jalan baharu ke Skim Penempatan Semula Asap menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan di Sungai Asap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek bernilai RM50 juta itu dijangka siap pada 9 September 2026.
"Pembinaan jalan ini bukan sahaja penting untuk menyokong pembangunan berterusan di kawasan tersebut malah mampu mengurangkan kesesakan ketika program besar seperti Pesta Apau Koyan diadakan.
"Kawasan ini juga berpotensi untuk menjadi pusat pentadbiran baharu bagi Sungai Asap dengan pelbagai pembangunan seperti pejabat pertanian dan pusat warisan yang bakal dibangunkan tidak lama lagi," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis pecah tanah projek, pada Selasa.
Dalam pada itu, Kennedy Chukpai turut menggesa orang ramai dan ketua masyarakat di Sungai Asap untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran projek itu nanti
Ujarnya, pihak kontraktor dan agensi pelaksana juga diharapkan memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS