KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berjaya menganjurkan Program Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Siri 2/2024 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Program tersebut melihat tiga sesi perkongsian oleh pihak Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan UKAS.
UKPS telah mengadakan sesi perkongsian yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan UKPS Dato Clarence Rorote Sagon mengenai peranan dan tanggungjawab unit itu di negeri ini.
Selain itu, sesi PDRM bertajuk ‘Kesedaran Terhadap Scammer, Apakah Tanggungjawab Anda’ yang disampaikan oleh ASP Tina Manchu.
Sesi berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penipuan atas talian dan perkhidmatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Manakala, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Latihan, Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan UKAS Dr Charlie Dudang menyampaikan sesi perkongsian mengenai peranan UKAS dalam menyebarkan informasi kepada penduduk Sarawak.
Objektif utama Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa itu adalah untuk menerangkan dasar dan polisi Kerajaan Sarawak kepada rakyat di peringkat akar umbi, menjelaskan persoalan berhubung isu-isu semasa yang mempunyai hubung kait dengan rakyat dan memastikan agenda pembangunan negeri sampai terus kepada rakyat.
Seramai 130 peserta telah mengikuti siri Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Siri 2 itu yang melibatkan Penjawat Awam Sarawak dan Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)/ Swasta (IPTS).
Program penangguhan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol. -EDISI UKAS