Mohon Dana UNIFOR Berdasarkan Keperluan Sebenar

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Rumah ibadat yang memohon dana daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak diingatkan untuk mengemukakan permohonan berdasarkan keperluan atau kos sebenar.
 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, adalah tidak logik permohonan itu dibuat berdasarkan anggaran yang terlalu besar untuk pembinaan atau kerja-kerja menaik taraf.

“Persepsi ini tidak logik hanya kerana menganggap UNIFOR mempunyai banyak peruntukan," tegasnya semasa Majlis Penyerahan Geran yang diadakan di pejabatnya di sini, pada Selasa.
 

Pada majlis itu beliau menyerahkan peruntukan sebanyak RM14.335 juta untuk membiayai 32 projek di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sarawak.


Antara wakil penerima termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Opar Billy Sujang, ADUN Kota Sentosa Yap Yau Sin dan ADUN Bukit Semuja John Ilus.
 

Tambah Datuk Amar Douglas Uggah yang juga menteri bertanggungjawab kepada UNIFOR, terdapat belakunya isu mengemukakan anggaran peruntukan yang terlalu tinggi dan sebagai contohnya kos sebenar adalah RM2 juta tetapi dianggarkan sehingga RM6 juta.
 

“Ada beberapa organisasi yang mempunyai kira-kira 200 ahli tetapi merancang untuk membina sebuah gereja atau kuil yang menelan belanja beberapa juta ringgit.


"Kerana menganggap kami akan meluluskan permohonan, sebagai contoh geran RM2 juta untuk gereja atau kuil, mereka yang lain yang berada di kawasan sama beranggapan turut mendapat jumlah yang sama jika mereka memohon.

"Ini juga tidak logik belaku," jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, wakil rakyat perlu membantu dalam mengkaji dan memastikan dana sebenar yang diperlukan.
 

Ujarnya, ini juga termasuk menjelaskan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg apabila beliau ada melakukan lawatan ke kawasan mereka.

“Selain itu, pegawai dan arkitek kami juga akan turun padang untuk membuat pengesahan,” tambahnya. -EDISI UKAS