Raptai Penuh Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Darul Iman Berjalan Lancar

Disiarkan pada 31 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


SADONG JAYA: Jawatankuasa kerja persiapan bagi Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Darul Iman, Daerah Kecil Sadong Jaya telah mengadakan sesi raptai penuh bertempat di masjid tersebut di sini pada Khamis. 

Sesi raptai ini perlu diadakan bagi memastikan segala aspek penganjuran program berjalan dengan lancar secara menyeluruh.
Sesi raptai turut melibatkan beberapa agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta ahli-ahli parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bersama membantu dalam menjayakan penganjuran majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis perasmian masjid tersebut ini akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 1 November ini.

Sehubungan itu, penduduk di Sadong Jaya dan kawasan sekitarnya dijemput hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.

Hadir meninjau raptai tersebut ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur Sarawak) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan Saribudin Katang, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Bahrin Kawi serta wakil agensi kerajaan yang lain. -EDISI UKAS