BINTANGOR: Program Jelajah Integriti 2024 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) diteruskan ke bahagian Meradong yang diadakan di Dewan Masyarakat Bintangor, pada Rabu.
Program yang merupakan siri keenam dalam siri Jelajah Integriti di Sarawak bagi tahun ini, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh amalan integriti di peringkat komuniti.
Program tersebut dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada inisiatif UNIONS sejak 2019, di mana 40 siri jelajah integriti telah diadakan di seluruh Sarawak.
Beliau menekankan pentingnya integriti dalam usaha mencapai aspirasi negeri untuk menjadi Sarawak Berintegriti Tinggi menjelang tahun 2030, sesuai dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Antara pengisian Program Jelajah Integriti 2024 seperti sesi taklimat mengenai peranan Ombudsman oleh pihak UNIONS, ceramah pencegahan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penerangan mengenai bantuan kebajikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei.
Pada kali ini, program turut mengadakan Integrity Walkabout di Masjid Al-Muhajirin, Taman Bintang, Bintangor dan disertai Dato’ Dr. Juanda Jaya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN)Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.-EDISI UKAS-