Sarawak Pavilion Di FHA-F&B 2024 Dirasmikan

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SINGAPURA: Food and Hotel Asia (FHA)-Food & Beverage (F&B) 2024 iaitu pameran perdagangan B2B terbesar Singapura membuka tirainya di Max Atria Singapore Expo, di sini pada Selasa.

Merangkumi 65,000 meter persegi ruang pameran dengan 70 pavilion antarabangsa, acara yang berlangsung selama empat hari dari 23 hingga 26 April ini melibatkan penyertaan daripada 1,500 pempamer dari 50 negara dan wilayah di seluruh dunia termasuk Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcom Mussen Lamoh hadir menyempurnakan perasmian Sarawak Pavilion di bawah kelolaan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) di Dewan 4, Gerai 4D1-01.

Beliau turut berpeluang menyaksikan pelbagai jenis hidangan kulinari, produk makanan dan minuman tradisional Sarawak yang dipamerkan seperti gula apong tempe, pelbagai jenis sambal dan perencah Laksa Sarawak yang unik dan lazat, serbuk lada yang beraroma, rangkaian premium beras kenyalang, kuih muih dan kek lapis.

Selain itu, turut dipamerkan adalah makanan laut terutama ikan empurau yang segar, popcorn dan coklat pelbagai perisa, minuman kopi dan teh tiga lapis yang istimewa, jus buah-buahan yang menyegarkan, keropok, kelupis pulut, air tuak, peria garing, kacang, ikan tahai dan banyak lagi.

Menurut Datuk Malcolm, ini merupakan satu platform untuk mempromosikan produk Sarawak yang diyakini boleh menarik minat para pengunjung.

"Selama tiga kali Sarawak terlibat dalam FHA F&B 2024 semenjak tiga tahun yang lepas, ini benar-benar terbukti memberi peluang untuk
mempamerkan keunikan makanan dan minuman dari bumi Kenyalang dan mungkin dapat menarik minat para pengunjung yang datang.

"Saya rasa Pavillion Sarawak ini akan lebih terkenal di masa akan datang dengan produk yang lebih menarik dan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.

"Yang lebih penting, kita dapat menembusi pasaran antarabangsa kerana di Sarawak kita punya pasaran tidak cukup besar, jadi kita memberi peluang untuk peniaga-peniaga atau pihak usahawan meluaskan perniagaan mereka,"katanya semasa ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas perasmian tersebut.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan memberitahu, dalam usaha meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam perniagaan tani, Pavilion Sarawak pada tahun ini mempunyai 32 pempamer mewakili usahawan yang terkenal di Sarawak yang berminat untuk mendedahkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

"Matlamat kami bukan sahaja untuk menarik minat tetapi untuk memupuk penglibatan dan pembelian yang berterusan dalam sektor makanan dan minuman kami, sekali gus meletakkan kedudukan Sarawak dalam pasaran global.

"Saya menjemput anda semua untuk menerokai Sarawak Pavilion, berinteraksi dengan pempamer kami, dan menikmati hidangan kulinari yang ditawar oleh Sarawak.

"Slogan kami 'Taste Sarawak' merangkumi janji pengalaman yang tidak dapat dilupakan, dan saya pasti anda akan menikmati setiap detiknya,"katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Sarawak Pavilion.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Lo Sheau Sia, Ahli Lembaga Pengarah STATOS Ngui Ing Ing, Charlie Soh dan Christopher Chong.-EDISI UKAS