SFCF 2024 Kembali Pada 10 Hingga 19 Mei Ini

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) 2024 anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan akan diadakan pada 10 hingga 19 Mei 2024.

Festival selama 10 hari ini  bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk makanan tradisi, makanan popular, seni, adat, budaya serta permainan tradisi yang terdapat di Sarawak, terutamanya bahagian Samarahan tersendiri.

Pengerusi Penganjur SFCF Kaunselor Dr. Florince Christy berkata, program ini merupakan acara pelancongan tahunan yang diadakan di Samarahan. 

"Pada tahun ini, kami berharap agar SFCF ini akan dapat menarik seramai 200,000 orang pengunjung. 

"Sokongan dan dokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah menjadikan acara ini satu program yang bakal memeriahkan dan merancakkan lagi industri pelancongan serta meningkatkan peluang perniagaan bagi rakyat Samarahan. 

"Bahkan acara ini telah dilanjutkan menjadi acara yang berlangsung selama 10 hari iaitu bermula pada 10-19 Mei 2024, bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 10.00 malam bertempat di Aiman Mall, Kota Samarahan.

"Pihak MPKS juga telah menyediakan sebanyak 83 buah gerai jualan yang akan memberi peluang kepada peniaga kecil-kecilan untuk berniaga barangan jualan seperti makanan dan minuman, makanan tradisional, pameran kraftangan dan lain-lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan di Kota Samarahan pada Selasa.

Tambah beliau, sepanjang berlangsungnya SFCF 2024 ini nanti, pelbagai aktiviti kebudayaan daripada pelbagai kaum akan dipersembahkan pada setiap malam dan juga pelbagai pengisian aktiviti menarik turut diadakan.

Selain itu, penganjuran SFCF pada tahun ini akan menyaksikan percubaan untuk melakukan rekod pameran hampir 100 jenis ulam-ulaman dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 19 Mei 2024 jam 3.30 petang bertempat di Aiman Mall, Samarahan.

Difahamkan, kali terakhir penganjuran SFCF adalah pada 10-16 Disember 2022 dan telah berjaya menarik seramai 98,819 pengunjung.

SFCF pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 10 Mei 2024. 

Manakala majlis penangguhan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Penganjur SFCF Kaunselor Kueh Khiok Khuang, Timbalan Pengerusi MPKS Kaunselor Muttalib Julaihi dan Timbalan Setiausaha MPKS Lilian Liew. - EDISI UKAS