Peperiksaan Kemasukan YSISS Dibuka untuk Semua Pelajar Sarawak

Disiarkan pada 31 Oct 2024
Sumber Berita: Ukas


SIBU: Peperiksaan atau penilaian untuk memasuki Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) terbuka kepada semua pelajar di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata guru besar sekolah rendah di seluruh Sarawak digalak untuk memastikan anak-anak murid mereka menduduki ujian penilaian secara dalam talian bagi kemasukan ke YSISS.

Menurutnya, ini kerana kemasukan atau pendaftaran ke sekolah tersebut adalah melalui guru besar.

“Ujian penilaian tersebut adalah terbuka kepada semua pelajar tetapi mereka mesti mendaftar ataupun mesti melalui guru besar.

“Sebab itu saya galak guru besar memastikan murid-murid mereka menduduki peperiksaan tersebut sebab permohonan adalah melalui guru besar dan setelah menduduki ujian itu barulah mereka ditapis untuk memasuki sekolah antarabangsa terebut.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Olahraga MSSR Zon Bandar Sibu Kali ke-49 Tahun 2024 di Stadium Tun Zaidi Adruce pada Selasa.

Ditanya mengenai perkembangan terkini ujian penilaian ke sekolah tersebut bagi tahun 2025 yang diadakan pada 19 Oktober lepas, beliau memaklumkan tidak mempunyai data untuk perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, ujian tersebut adalah untuk murid-murid di seluruh Sarawak bagi kemasukan ke dua buah YSISS di Kuching.

Bagi projek YSISS di Sibu yang dijangka siap pada akhir tahun ini, Datuk Dr. Annuar menyatakan bahawa kohort pengambilan pertama akan dimulakan pada tahun 2026.

“Jadi murid tahun lima tahun ini di mana tahun depan mereka akan masuk tahun enam, mereka inilah yang akan berpeluang untuk mendapat pendidikan sekolah tersebut bagi kohort yang pertama nanti,” katanya.

Syarat kemasukan ke YSISS selain ujian penilaian adalah calon mesti mencapai sekurang-kurangnya Band 5 dalam Pentaksiran Bilik Darjah bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik serta murid atau salah seorang ibu bapanya mesti anak Sarawak atau pemastautin tetap Sarawak.

Menyentuh mengenai kepentingan MSSR, beliau berkata ianya program yang penting untuk kanak-kanak dari segi kesihatan dan pendedahan sosial.

“Melalui program sebegini, mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat sekeliling, membina keyakinan diri dan membiasakan diri bergaul dengan pelbagai kaum,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Abang Ali, Hamdi Nadji.-EDISI UKAS