KUCHING: Pengurus Sj Farm, Ahmad Tarmizi Ahmad Sabirin dinobatkan sebagai juara AGROTECH HEROES.
Menerusi kejayaan itu, beliau yang berusia 28 tahun berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 yang ditaja Aerodyne, sebuah syarikat perkhidmatan dron terkemuka dunia.
AGROTECH HEROES merupakan sebuah rancangan realiti inovatif yang dianjurkan Moteevasi Media Sdn Bhd dan Koperasi Belia Inovasi Sarawak dengan sokongan TVS.
Ketika ditemui Ahmad Tarmizi berkata, beliau akan menjadikan kemenangan itu sebagai dorongan untuk terus memperkasa usaha meningkatkan kualiti tanaman yang diusahakanya.
“Saya akan manfaatkan hadiah ini untuk mengembangkan perniagaan dan memperbaiki hasil tanaman.
"Malah saya juga berharap kemenangan ini akan menjadi inspirasi kepada belia lain untuk terjun ke bidang pertanian moden,” katanya yang memiliki lebih 10 tahun pengalaman dalam pertanian moden.
AGROTECH HEROES yang berlangsung dari 28 Julai hingga 27 Oktober 2024 menampilkan perjalanan enam 'Heroes' daripada pelbagai latar belakang yang mengusahakan agroteknologi dan pertanian moden.
Objektif rancangan ini untuk menjadi platform bagi belia Sarawak melihat potensi pertanian sebagai kerjaya masa depan yang berdaya saing dan menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 serta memastikan kelestarian keselamatan makanan negara.
Di samping itu, rancangan ini turut berhasrat kembali untuk musim kedua bagi memberi ruang kepada lebih ramai belia untuk menyerlahkan potensi mereka sebagai ikon pertanian baharu.
AGROTECH HEROES juga membuktikan pertanian bukan sekadar aktiviti tradisional tetapi merupakan satu cabang industri yang berdaya maju, relevan dengan teknologi terkini dan amat penting dalam memperkukuh kestabilan ekonomi serta masa depan pertanian Sarawak. - EDISI UKAS