Guna Platform Betul Salur Masalah Di Sekolah

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah diminta untuk menyalurkan masalah yang dihadapi di platform yang betul agar tidak menimbulkan isu-isu yang boleh mencemarkan nama sekolah.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben berkata, isu yang berbangkit di sekolah harus dan wajib dibawa ke mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan bukannya dilepaskan di media sosial.

“Tindakan seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah, malah hanya memberi imej yang buruk kepada sekolah yang mana akan menyusahkan pihak sekolah termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan untuk memberi penjelasan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Bengkel Pengurusan PIBG Daerah Serian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup menyeru kepada ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak mereka di luar sekolah agar tidak terpesong dalam aktiviti yang tidak bermoral seperti menagih dadah, minum minuman beralkohol dan gejala ‘mat rempit’ yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar.

Untuk rekod, seramai 216 peserta telah hadir dalam bengkel tersebut sambil mendengar ceramah yang telah disampaikan terutamanya dalam hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran PIBG di sekolah.

Di akhir ucapannya, Datuk Martin turut mengumumkan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada PPD Serian untuk membantu sekolah dan PIBG dalam penganjuran program yang akan datang.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian Jeniffer George Gantung dan Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Daerah Serian Sari Aji. - EDISI UKAS