KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar Sarawak membantu membangunkan negeri lain sebagai cadangan yang tidak munasabah.
Beliau menegaskan, meskipun Bank Dunia sudah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, namun tumpuannya kini adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat di negeri ini.
Premier Sarawak menambah, Kerajaan Sarawak kekal fokus untuk memanfaatkan sumber pendapatannya bagi mempercepatkan pembangunan di seluruh negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Sarawak fokus dalam menguruskan sumber walaupun Sarawak dianggap sebagai negeri berpendapatan tinggi.
“Namun pendapatan isi rumah masih belum mencapai tahap tersebut, jadi Kerajaan Sarawak memberikan keutamaan kepada pembangunan luar bandar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada hari Isnin yang dipetik sebagai menggesa supaya Sarawak yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, membantu negeri mundur untuk membangun seperti Kedah yang bajet pembangunannya sekitar RM700 juta berbanding RM11 bilion diperuntuk negeri di Timur Malaysia itu.
Terdahulu beliau menyempurnakan Sarawak Sustainability Insights (SSI) 2024 di sini, pada Selasa.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri sedang menyalurkan dana untuk memperbaiki sekolah, menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan utiliti terutamanya di kawasan terpencil dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abang Ahmad Abang Morni serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS