TBS Agih RM16.32 Juta Zakat Fitrah Setakat Februari Lepas

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) pada tahun ini telah mengagihkan sebanyak RM16.32 juta zakat fitrah kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Pengurus Besarnya, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie memberitahu, zakat telah diagihkan sepenuhnya kepada golongan sasaran yang layak.

“Kita telah mengagihkan sebanyak RM16.32 juta zakat fitrah setakat Februari lepas,” jelas beliau semasa ditemui media semasa Majlis Hari Bersama Pelanggan TBS di sini pada Selasa.

Beliau menambah, TBS pada tahun lepas telah berjaya mengagihkan zakat fitrah sebanyak RM101 juta kepada golongan yang layak khususnya golongan asnaf.

Mengulas mengenai program pada hari ini, orang ramai tidak mengira bangsa dan agama mulai datang ke majlis berkenaan seawal jam 9 pagi walaupun majlis bermula pada jam 10 pagi.

Pihak TBS menyasarkan kehadiran seramai 5,000 orang pengunjung bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Bagi memudahkan perjalanan majlis, pihak penganjur telah menyediakan lebih 10 gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman kepada pengunjung. -EDISI UKAS