ADUN Bukit Goram Gesa Isu Kelewatan Projek Lencongan Jalan Persimpangan Beletek Diselesai Segera

Disiarkan pada 29 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS



KAPIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat mengesa agensi terlibat menyelesaikan isu kelewatan projek lencongan di Jalan Persimpangan Beletek dan Sungai Kapit.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu, projek tersebut telah dimulakan bulan lepas namun tergendala kerana tiang dan kabel di tapak projek belum dialihkan.

"Kita berharap agensi berkaitan perlu bertindak segera agar projek ini dapat diteruskan dan disiapkan secepat mungkin," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau tapak projek tersebut, pada Isnin.

Beliau diiringi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan, Timbalan Walikota Majlis Daerah Kapit, Cr. Martin Bilun, serta wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit dan Ketua Masyarakat Pemanca Pasang.

Datuk Jefferson Jamit turut menekankan keperluan projek tersebut disegerakan susulan banyak aktiviti besar dirancang akan berlangsung pada Disember ini termasuk sambutan '100 Tahun Peace Maker'.

Sambutan '100 Tahun Peace Maker' diadakan untuk memperingati peristiwa bersejarah Hari Perdamaian antara kaum Iban dan Orang Ulu.-EDISI UKAS