Hospital Sri Aman Sambut Bulan Kaunseling Kebangsaan 2024 Dengan Pelbagai Program Komuniti

Disiarkan pada 29 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Hospital Sri Aman telah mengadakan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat Hospital Sri Aman 2024 dengan pelbagai pengisian program komuniti, baru-baru ini. 

Menurut Timbalan Pengarah Hospital Sri Aman, Dr. Sim Poh Ling, program tersebuy bukan sahaja menyasarkan kakitangan hospital malah turut melibatkan masyarakat setempat dalam usaha memperkukuhkan kesihatan mental menerusi aktiviti kaunseling dan sokongan komuniti yang lebih menyeluruh.

"Saya percaya program yang dianjurkan dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami pentingnya kesihatan mental dan kaunseling dalam kehidupan seharian," ujarnya semasa menyempurnakan majlis perasmian dan penutupan sambutan tersebut.

Antara acara utama adalah Webinar Peringkat Kebangsaan Anti Gangguan Seksual secara atas talian, Seminar Scammer Alert bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dalam jelajah kewangan BNM di Sarawak dan Terapi Mewarna Mindfulness.

Selain itu, turut diadakan juga Terapi Air Clay, Explorace Psikologi Kaunseling, Kuiz Psikologi Kaunseling dan Program Wira Wangsa Hospital Sri Aman. – EDISI UKAS