KUCHING: Laluan bagi sistem Transit Aliran Autonomi (ART) akan diperluaskan sehingga ke Batu Kawa dengan laluan garisan kuning dalam usaha membantu mengatasi masalah kesesakan di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha ini bukan sahaja membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya pada waktu puncak malah mengembangkan jaringan perhubungan melalui kenderaan awam.
“Setakat ini, kita mempunyai garisan biru dan juga garisan merah untuk ART ini dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian meminta untuk mengembangkan lagi ART ke kawasan Batu Kawa dengan garisan kuning.
“Saya merasakan perkara ini tidak menjadi masalah kerana masih dapat dibincangkan lagi dan yang penting kita akan mempunyai kaedah perhubungan baharu dari sudut kenderaan awam,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawa pada Isnin.
Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, pelaksanaan ART tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Bahagian Kuching yang melibatkan kawasan Batu Kawa, Bau dan Matang.
“Ini adalah tiga kawasan yang akan kita beri perhatian terutamanya dalam pembangunan bandar atau lebih kita kenali sebagai pembangunan semula kawasan bandar,” ujar beliau.
Terdahulu, Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa memberitahu, Batu Kawa menjadi lokasi yang strategik untuk menggunakan khidmat ART memandangkan kepadatan penduduk yang begitu tinggi saban tahun.
“Sudah pasti ART akan menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi apabila garisan kuning ini nanti sepertimana yang dicadangkan oleh Sarawak Metro dalam perancangan asal di mana laluan ini akan dihubungkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” jelas beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Sarawak (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr Penguang Manggil, ADUN Batu Kitang Datuk Ir Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai. -EDISI UKAS