JHS Tandatangani LoU Bersama Universiti Van Hall Larenstein, Kukuh Inisiatif Karbon Hutan

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



VELP: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah mengambil satu langkah penting ke arah memperkukuhkan inisiatif karbon hutan di Sarawak.

 

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, JHS telah menandatangani dan menukar Surat Persefahaman (LoU) bersama Van Hall Larenstein University of Applied Sciences di Velp, Belanda pada Isnin.

 

Menurutnya, kerjasama ini telah dirasmikan semasa Program Latihan Mekanisme Perdagangan Karbon Hutan yang dianjurkan oleh universiti.

 

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JHS Semilan Ripot menekankan kepentingan inisiatif ini dalam ucaptamanya sambil mengaitkannya dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak.

 

“PCDS 2030 mengutamakan perhutanan sebagai sektor ekonomi utama dan kerjasama ini sejajar dengan komitmen negeri terhadap usaha pemuliharaan hutan dan penanaman semula hutan,” katanya.

 

Pengarah Penyelidikan Universiti Van Hall Larenstein Dr Gerald Robijn berkata, matlamat program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, memupuk peluang rangkaian dengan pakar industri dan memudahkan perbincangan untuk mewujudkan kerjasama saintifik, akademik dan pendidikan.

 

JHS berkata, inisiatif ini menyumbang kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim sambil membuka pintu kepada aliran hasil baharu daripada hutan Sarawak termasuk yang dijana melalui projek karbon hutan.

 

“Program ini juga termasuk pembentangan oleh pegawai Jabatan Hutan Sarawak kepada pelajar antarabangsa dan pihak berkepentingan.

 

“Pertukaran pengetahuan ini memupuk pertukaran kepakaran teknikal, data saintifik dan maklumat berasaskan bukti yang akan menyokong Kerajaan Sarawak dalam membuat keputusan termaklum dan mewujudkan dasar yang memastikan aktiviti karbon hutan di Sarawak berada pada kedudukan yang baik dalam pasaran antarabangsa dan sejajar dengan piawaian karbon.

 

“Usaha kerjasama ini menandakan satu langkah kritikal ke hadapan dalam memacu inisiatif karbon hutan Sarawak dan mengukuhkan komitmennya terhadap amalan pengurusan hutan yang mampan,” jelasnya. -EDISI UKAS