Musim Perayaan Serlah Semangat Perpaduan Sarawak

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS



BETONG: Musim perayaan menyerlahkan semangat kebersamaan dan perpaduan masyarakat di Sarawak.

 

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu memberitahu, masyarakat Sarawak akan menyambut setiap perayaan bersama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

 

“Pada Hari Gawai yang bakal tiba, iaitu pada 8 Jun depan, satu perarakan Gawai akan dianjurkan di Betong dan saya menyeru pihak Kampung Melayu Betong untuk turut serta menghantar pasukan,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong Tahun 2024 baru-baru ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, beliau bersama Ahli Parlimen Betong akan menyumbang lembu untuk program pada Hari Raya Haji, 17 Jun kelak.

 

Menurutnya pada tahun ini juga, beliau akan menunaikan janji untuk menaja enam orang penduduk masing-masing dari semua enam buah Kampung Melayu di Betong untuk menunaikan ibadah haji.

 

Dalam perkembangan lain, Dato Gerald berkata projek bina baharu Masjid Bahagian Betong akan dibuka untuk proses tender dalam sedikit masa lagi.

 

Dalam majlis sama, beliau telah mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM10,000 daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada Jawatankuasa Induk Ramah Tamah Aidil Fitri Kampung Melayu Betong manakala Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu telah menyumbang RM5,000.

 

Dato Gerald turut menyumbangkan RM10,000 masing-masing kepada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Melayu Betong sebagai sumbangan tambahan.

 

Turut hadir isteri Dr Richard, Lucy Mary Johnson, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Romeo Christopher Tegong dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Kampung Melayu Betong Penghulu Abang Suhailie Abang Pay. -EDISI UKAS