KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) buat julung kalinya mengangkat keunikan budaya etnik Melanau melalui persembahan teater bertajuk 'Tugau', yang dihasilkan oleh Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching.
Teater muzikal arahan sutradara Wayne Lee SC dan Tini Tyrani Adurahman itu dipentaskan selama dua hari, bermula Sabtu, 26 Oktober, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, sempena Panggung Seni Tradisional (PST) 2024 Edisi Ke-4 di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, pementasan ini bukan sahaja menonjolkan bakat penggiat seni dari Sarawak, tetapi juga menceritakan legenda Melanau yang kaya dengan nilai dan kepercayaan masyarakat tersebut.
Beliau merakamkan rasa bangga terhadap karya ini kerana mampu menarik perhatian penonton dan mengekalkan tumpuan mereka selama 90 minit di pentas utama, dengan jalan cerita yang penuh emosi dan menghiburkan.
"Persembahan yang sangat baik sekali. Saya berasa bangga dan berharap persembahan 'Tugau' ini dapat dipentaskan sekali
lagi di Kuching nanti dengan adanya sokongan daripada kerajaan melalui kementerian yang berkaitan.
"Saya juga berharap agar banyak lagi kumpulan teater di Sarawak diberi peluang untuk membuat persembahan di Semenanjung bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi juga di negeri-negeri lain supaya budaya pelbagai etnik dari Sarawak dapat kita tonjolkan," katanya.
Datuk Abdullah berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan teater tersebut pada hari pertama pementasannya.
Di samping itu, beliau turut memuji usaha penganjur dalam menjadikan platform seni ini sebagai cara untuk menyebarluaskan nilai dan keindahan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.
Kejayaan pementasan ini katanya, diyakini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan legasi seni dan budaya.
"Tidak lama lagi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan membentangkan belanjawan 2025 dan sama-sama kita mengharapkan supaya beliau membentangkan belanjawan yang baik untuk aktiviti kesenian di Sarawak," tambah beliau.
Teater tersebut dibintangi oleh Mustaghfirin Fathullah (Tugau), Anding Indrawani (Maragajeng), Michelle Lungan dan Puteri Ika (Puteri Kedaka), Elya Nabila dan Izzara (Luyan), Kahar Jini (Semaring), Leya Ameera (Puteri Balai), Jean Seymour (Tuyang), Jamsari Saili (Pencerita), Wezan Saili (Lagak), Shahrul (Bomoh Bunian), Mael Yan (Lai Lawa) serta 20 pelakon sampingan termasuk penari dan pemuzik.
PST 2024 merupakan salah satu usaha MOTAC bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional di negara ini dapat diteruskan sebagai langkah pemuliharaan dan pengekalan seni warisan Malaysia dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan variasi aset produk pelancongan negara.-Edisi UKAS