Premier Sarawak Ketuai Rombongan Melawat Loji Janakuasa Drax

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


LONDON: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai delegasi kerajaan negeri melawat Loji Janakuasa Drax yang terletak di Yorkshire Utara, England pada petang Isnin, waktu tempatan.

Turut mengiringi Premier Sarawak ke loji tenaga yang dijana melalui palet kayu dengan kapasiti penjanaan 3.9 gigawatts itu ialah Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Loji Janakuasa Drax, Bruce Heppenstall.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak , Abang Ahmad Abang Morni.

Drax merupakan pengeluar biojisim mampan kedua terbesar di seluruh dunia dan sumber terbesar tenaga boleh diperbaharui mengikut pengeluaran di United Kingdom. Drax juga memperkembangkan biotenaga dengan tangkapan dan penyimpanan karbon (BECCS).

Sementara itu, bercakap ketika ditemui selepas lawatan kerja tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kerajaan Sarawak akan membuat pengiraan dalam memanfaatkan sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga yang efisien.

"Kita telah meninjau dan kita nampak bahawa banyak perkara-perkara baharu yang dapat kita pelajari dan tadi dalam taklimat dan juga dalam lawatan kita, di sini mereka mengeluarkan lebih kurang 3.9 gigawatts dan mereka menggunakan sisa-sisa kayu yang diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.

"Mungkin daripada kos ada tinggi disebabkan oleh kos logistik tetapi yang perlu ialah kita memahami teknologi untuk memanfaatkan sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga dan qapabila balik nanti kita akan membuat pengiraan," katanya.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, kerajaan negeri melihat potensi besar yang ada dalam menukarkan sisa-sisa biojisim melalui bahan bakar yang dikenali sebagai palet kayu dalam menghasilkan tenaga yang diperbaharui.

"Jadi kalau kita ada mempunyai loji tenaga yang baharu dan efisien, Sarawak boleh mengeluarkan tenaga yang boleh diperbaharui daripada sumber sisa kita yang ada, tetapi saya nampak pada umumnya kita boleh menjana tenaga menerusi sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga.

Dalam pada itu, Premier Sarawak dijadual berucap dalam Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor di Dewan Rakyat, Parlimen UK pada Selasa.

Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan syarikat dari UK, CSA Catapult.

Premier Sarawak dan delegasi Kerajaan Sarawak kemudian akan bertolak ke Poland bagi menghadiri Forum Teknologi Hidrogen dan menyertai sesi ‘Debate Regions for the Planet’. -EDISI UKAS