RM12 Juta Dana Tambahan Diperlukan Bagi Siapkan Gereja St. Peter

Disiarkan pada 28 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Dana tambahan sebanyak RM12 juta diperlukan bagi menyiapkan pembinaan Gereja Saint Peter, Padungan di sini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, pembinaan gereja itu menelan kos sebanyak RM38 juta secara keseluruhannya. 

Menurutnya, dana sebanyak RM1 juta telah disumbangkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu membina gereja berkenaan.

“Setakat ini, sumbangan orang ramai termasuk UNIFOR telah mencecah kira-kira RM26 juta. 

“Kami masih kekurangan RM12 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penyerahan Cek UNIFOR Sarawak kepada Gereja Saint Peter, Padungan pada Isnin. 

Dalam pada itu, beliau percaya dengan adanya bantuan bersama, kerja pembinaan ini dapat dilakukan dengan cepat. 

Katanya lagi, pembinaan gereja ini bukan sekadar tempat untuk beribadat, malahan ia juga boleh dijadikan destinasi khas untuk pelancong. 

Pembinaan gereja tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 15 November ini dan Misa Tengah Malam Krismas dijadualkan sebagai acara pertama di gereja ini. 

Perasmian pula akan diadakan pada 29 Jun tahun hadapan.

Hadir sama Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, Uskup Agung Katolik dari Keuskupan Agung Kuching, Dato Simon Peter Poh Hoon Seng dan Paderi Vincent Chin. - EDISI UKAS