RM21 Juta Diperuntuk Naik Taraf Kelab Golf Bintulu

Disiarkan pada 28 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kelab Golf Bintulu akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM21 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, semasa mengumumkan perkara itu berkata skop naik taraf itu melibatkan pembinaan semula kemudahan kelab termasuk rumah kelab tiga tingkat yang canggih dan 'driving range' dua tingkat. 

"Pembinaan semula kemudahan ini bertujuan untuk mencipta tempat di mana pemain golf dari semua peringkat dapat berkumpul, membaiki permainan mereka dan menikmati kemudahan terbaik yang ditawarkan oleh Bintulu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Golf Terbuka Amatur Bintulu ke-29 2024 anjuran kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Kelab Golf Bintulu pada Ahad.

Sementara itu, beliau berkata kejohanan ini bukan sahaja tentang sukan, malah ia tentang membina komuniti yang kukuh dan saling menyokong. 

Selain itu katanya, ia menjadi platform kepada para pemain menunjukkan bakat dan mempamerkan kehebatan mereka.

Ujarnya, gelaran ‘Destinasi Golf Terkemuka’ kini semakin serasi dengan nama Bintulu, melalui penganjuran kejohanan tersebut.
Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari. – EDISI UKAS