KMKK Berperanan Pastikan Kesejahteraan Penduduk Terjamin

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mempunyai peranan penting memastikan kesejahteraan penduduk dari segi undang undang terjamin. 

Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, mereka mesti tahu membaca undang-undang adat istiadat bagi memudahkan aktiviti pentadbiran.

"Zaman telah berubah jika berbanding zaman dahulu. Dalam struktur pentadbiran rumah panjang pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah Tuai Rumah.

"Kerajaan juga telah memberikan elaun kepada setiausaha. Oleh yang demikian seorang setiausaha haruslah tahu menulis dan membaca. 

"Hal ini kerana setiap mesyuarat yang diadakan di rumah panjang mesti disediakan minit," katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan di Bintulu pada Sabtu.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin yang baharu harus menjadikan pemimpin yang lama sebagai sumber rujukan. 

Hal demikian katanya, pemimpin ini sememangnya mempunyai pengalaman yang luas kerana telah berkhidmat dengan lama.

Beliau juga turut menegaskan pentingnya nilai perpaduan tanpa mengira kaum dan agama untuk menjamin kesejahteraan penduduk dan kestabilan pembangunan. 

Hadir sama Residen Bintulu Nyurak Keti, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan. - EDISI UKAS