TELANG USAN: Masyarakat Penan hari ini semakin mendapat pendedahan dan aktif melalui penganjuran aktiviti sukan yang dianjurkan di kawasan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, masyarakat Penan kini mengalami perubahan positif di mana mereka tidak lagi hidup dalam suasana yang tertutup dan mulai menerima aktiviti-aktiviti pihak kementerian persekutuan mahupun negeri di tempat mereka.
Menurut beliau, perkara ini dibuktikan apabila penduduk Long Latei yang berada jauh di pedalaman memberikan kerjasama yang baik dalam penganjuran aktiviti sukan iaitu Karnival Sukan Luar Bandar anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.
Difahamkan, karnival yang membuka tirai pada Jumaat lalu mendapat kunjungan lebih 500 penduduk dari sembilan buah kampung masyarakat Penan yang berdekatan.
Menurut Dato Dennis, penganjuran aktiviti seumpama ini amat signifikan dengan matlamat KBS dan kerajaan Sarawak untuk menyatupadukan masyarakat di luar bandar melalui aktiviti sukan.
Selain daripada aktiviti sukan, beliau turut memberitahu bahawa kampung Long Latei sebelum ini turut menerima kunjungan daripada Persatuan Gerakan Kemanusiaan yang bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk membina dan menyediakan bekalan air bersih di kawasan tersebut.
Dalam kesempatan itu juga, beliau turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang terlibat dalam pertandingan pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan.
Hadir sama, Pengarah Pusat Belia Antarabangsa Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KBS Richard Barahim, Pengarah Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau, Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Iqbal Ismail serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS