MIRI: Penglibatan sukarelawan dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Sarawak sentiasa menjadi tulang belakang persatuan berkenaan untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang.
Pengerusi PBSMM Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, meskipun tidak menerima ganjaran yang nyata, kepuasan dalam diri semasa membantu mereka yang memerlukan menjadikan sukarelawan penting dalam sesebuah komuniti.
Jelas beliau, sukarelawan PBSMM Sarawak telah terlibat dalam banyak misi kesukarelawanan lebih-lebih lagi apabila berlakunya bencana alam seperti banjir dan aktiviti-aktiviti lain seperti sukan sekolah acara negeri dan sebagainya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Penghargaan Sukarelawan 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, peranan sukarelawan amat penting dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang positif di samping menjadi ‘ejen’ yang membantu mencapai misi kerajaan.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Penasihat PBSMM Daerah Miri Dato Sri Lee Kim Shin, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang dan Pengerusi PBSMM Cawangan Miri Dr Mohd Arif Abdullah. -EDISI UKAS