Tangani Segera Peningkatan Kes Dadah Bintulu

Disiarkan pada 27 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Peningkatan kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah di Bintulu semakin membimbangkan lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar dan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming memberitahu, dalam peningkatan ini, terdapat perubahan ‘trend’ di mana kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan dadah jenis sintetik.

Menurut beliau, dadah sintetik mendatangkan kesan lebih berbahaya yang mana boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sel otak.

Justeru, Johnny menyeru kepada pelajar yang terlibat dalam Program Ceramah Kesedaran Anti Dadah yang diadakan di Terminal Bas Bintulu pada Sabtu agar tidak terjerumus dengan aktiviti ini.

Dalam program tersebut, seramai 160 pelajar dari lapan buah sekolah terlibat dalam aktiviti yang diadakan sepanjang ia berlangsung.

Antaranya termasuk ceramah daripada Eddy Leong di samping acara menaikkan papan tanda antidadah di terminal bas untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya dadah.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Temenggong Datuk Barry Yek Siew Hui, Pemanca Datuk Dr Francis Toh Chiew Peng serta kakitangan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Bintulu. -EDISI UKAS