525 Peserta Terima Manfaat Daripada Program MyLesen Di Beluru

Disiarkan pada 27 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


MARUDI: Seramai 525 peserta dari kawasan Beluru di sini menerima manfaat daripada program MyLesen bagi lesen motosikal B2 yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil memberitahu, program MyLesen ini diwujudkan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motosikal dengan harga biasa di pasaran.

Jelas beliau, lesen yang diperolehi semasa program ini dikenakan kos yang lebih rendah iaitu RM250 sahaja berbanding harga pasarannya, RM655.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen B2 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu mengingatkan para peserta yang berjaya mendapatkan lesen mereka pada hari berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di samping membawa kenderaan mereka dengan penuh berhemah.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak Norizan Jili, Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Mohd Jamil, Ketua Cawangan JPJ Miri Fifi Suhesty Asmuni serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS