KM Pulau Pinang & MB Perlis Sambut Baik Kunjungan Hormat Delegasi SUKMA & Para SUKMA XXI Sarawak 2024  

Disiarkan pada 23 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


PULAU PINANG: Delegasi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli di pejabat mereka pada Isnin.

Delegasi kerajaan Sarawak diketuai oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus.

Dalam pada itu, kedua-dua Ketua Menteri dan Menteri Besar tersebut menyambut baik kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Terdahulu rombongan dari Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, George Town.

Delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 kemudiannya meneruskan perjalanan ke Perlis bagi kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar.

Menarik perhatian, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mencemar duli membawa delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 melawat ke Kampung Warna-Warni di Kuala Perlis.

Hadir sama dalam dua kunjungan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Nur Alina Abdullah Colliner Gohe, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Jee Chin Fu dan Pegawai Tadbir Khas Matthew Chin Hiong Choi serta urusetia kunjungan hormat SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Pada Selasa, delegasi sama turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pejabat Menteri Besar Kedah, Wisma Darul Aman, Alor Setar.-EDISI UKAS