‘Pepper Scale Up Project’ Bakal Pacu Ekonomi Pekebun Lada Di Betong

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Pekebun lada di Betong bakal menerima manfaat dari projek memacu industri lada atau ‘Pepper Scale Up Project’ yang sedang rancak dilaksanakan di rumah panjang Penyulok, Layar, Betong.
 
Menurut Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, projek mencakupi pembinaan Rumah Pengeringan Solar Lada Putih telah siap dibangunkan.
 
Katanya, rumah tersebut adalah bagi menyediakan infrastruktur yang akan menjadi lokasi pengeringan dan pemprosesan lada putih dengan teknologi moden.
 
Menurut beliau, kerja seterusnya adalah memasang peralatan yang diperlukan dan mengatasi beberapa perkara berbangkit agar dapat memulakan operasi dalam sedikit masa lagi.
 
Ditemui semasa mengadakan tinjauan ke atas bangunan berkenaan baru-baru ini, Dr Richard berkata program di bawah Universiti Sains Malaysia (USM) selaku rakan strategik dan turut dibantu pihak TERAJU Wilayah Sarawak itu bertujuan memperkasakan ekonomi golongan pekebun kecil lada di Rumah Panjang Penyulok khasnya.
 
“Teknologi moden di dalam pengeringan dan pemprosesan lada putih ini adalah daripada pihak USM di mana latihan akan diberi kepada para pekebun lada yang selama ini menggunakan kaedah tradisonal.
 
“Ini agar penghasilan produk lada putih di sini meningkat dari segi produktiviti, mamatuhi Good Manufacturing Practise (GMP), Good Agriculture Practice (GAP) dan seterusnya menepati piawaian yang ditetapkan agar memudahkan untuk dipasarkan,” katanya.
 
Sementara itu, TR Kelimbang Jaman mewakili para penduduk merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang membawa program ini ke rumah panjang mereka.
 
Beliau berharap Rumah Pengeringan Solar Lada Putih dapat memulakan operasi menjelang musim menuai lada sekitar bulan Jun nanti. - EDISI UKAS