Dewan Serbaguna Taman Mutiara Siap Sepenuhnya

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


BAU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini sudah pastinya menggembirakan komuniti Taman Mutiara di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru dengan adanya dewan serbaguna baharu yang telah siap dibina sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, hasil pemeriksaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap dewan serbaguna yang pernah dibina sebelum ini oleh pihak pemaju perumahan pada 24 tahun lepas didapati mengalami banyak kerosakan pada struktur bangunan dan tidak selamat untuk digunakan.

Menurutnya lagi, susulan daripada itu pada tahun 2016 permohonan kepada Majlis Daerah Bau (MDB) telah dibuat untuk menyerahkan tapak bangunan dewan itu kepada pihak kawasan Taman Mutiara supaya membolehkan pembinaan semula sebuah dewan baharu.

Dato Henry berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Taman Mutiara Dan Ramah Tamah Aidilfitri Taman Mutiara Bau 2024 di sini pada Ahad.

Dato Henry menambah, proses pembinaan dewan baharu tersebut memakan masa yang agak lama dilakukan kerana memerlukan perancangan selain peruntukkan dan usaha itu diteruskan sehingga siap sepenuhnya setelah beliau menyandang sebagai wakil rakyat untuk penggal kedua. 

Dalam pada itu bagi menambahbaik keadaan dewan serbaguna yang baharu termasuk peralatan seperti kerusi dan meja beliau kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2025.

Selain itu, sejumlah RM10,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tahun ini turut diluluskan kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan (JKKK) Taman Mutiara bagi menganjur aktiviti tahunan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Bau, Constantine Gerald David Jonas, Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau, Bong Jong Long, Penghulu Masyarakat Bidayuh Pekan Bau dan Sekitarnya, Christina Opoum, Penghulu Masyarakat Melayu Daerah Bau, Wahab Mainol, Penghulu Kawasan Bratak, William Morfor Misek dan Penghulu Pasar Bau dan sekitarnya, Voon Boo Shin.-EDISI UKAS