Peraturan OTA & STRA Bukan Di Bawah Kuasa MTCP

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Peraturan Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) dan Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak.
 
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengeluaran lesen STRA terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Tempatan manakala OTA dikawal selia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di peringkat Persekutuan.
 
Bagaimanapun, beliau menjelaskan telah menemui pihak berkuasa berkaitan untuk meneliti perkara itu memandangkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).
 
“Tetapi kita akan meneliti perkara ini, jika perkara itu benar-benar serius. Kami ada bincang mengenainya, ini adalah untuk Kerajaan Tempatan untuk meneliti perkara ini.
 
“Setakat kementerian saya, kami akan cuba pastikan, dari segi industri perhotelan dan pelancongan, jumlah pengunjung semakin meningkat dan mereka yang datang ke Sarawak berminat dengan apa yang kami tawarkan,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
 
Sebelum ini, Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kenaikan kadar hotel akan berlaku sekiranya ancaman yang dihadapi oleh industri perhotelan termasuk isu OTA dan STRA yang tidak terkawal gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa, justeru, menyumbang kepada penurunan pendapatan atau peningkatan kos operasi hotel bajet.
 
Justeru, Dato Sri Abdul Karim menggesa MyBHA untuk melihat 'gambaran yang lebih besar' dan tidak memberi tumpuan kepada keuntungan jangka pendek dengan menaikkan kadar mereka.
 
"MTCP dan MOTAC sentiasa berusaha ke arah memperkasa industri pelancongan dengan acara yang boleh menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini.
 
"Kita bekerja keras untuk menganjurkan lebih 200 acara setiap tahun bagi menarik pelancong datang ke Malaysia yang seterusnya memberi manfaat kepada industri perhotelan.
 
"Bagi Sarawak, acara-acara tersebut telah menarik kehadiran ramai pelancong dan yang pastinya perlu tinggal di hotel dan ini membuatkan kadar sewa bilik hotel terus meningkat," ujarnya.-EDISI UKAS