KUCHING: Regata Bot Naga Sarawak 2024 mampu melonjakkan sektor ekonomi tempatan dengan dijangka menjana kutipan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengisian jualan kraftangan menjadi pemangkin utama dalam mengintegrasikan industri tersebut kepada pengunjung terutamanya pengunjung dari luar negara.
Menurut beliau, selain itu, penganjuran acara-acara lain seperti Sarawak Marathon dan Regata Sarawak 2024 turut akan merancakkan lagi jualan kraftangan ini.
“Kemungkinan pada tahun ini, mereka dapat menjana RM1.5 juta (secara keseluruhan) berbanding tahun lalu di mana mereka mampu menjana RM1.3 juta.
“Namun, saya menjangkakan kemungkinan mereka mampu menjana lebih daripada itu (RM1.5 juta) kerana dalam tarikh yang sama kita ada menganjurkan acara lain seperti Sarawak Marathon dan sebagainya,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke reruai jualan kraftangan di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari diberi penghormatan untuk merasmikan acara tersebut yang dimulakan dengan sesi penyerahan pendayung dan kemudiannya menitik mata naga di bot yang bertanding.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak memberitahu penganjuran acara bertaraf antarabangsa ini turut melonjakkan ekonomi industri perhotelan dan penginapan sekitar Kuching.
“Lonjakan para pelancong nampaknya turut bertambah di Sarawak kerana kita turut mendapat maklum balas daripada industri hotel kita,” jelas beliau lagi.
Untuk rekod, perlumbaan kali ini turut mendapat penyertaan dari negara-negara luar seperti England, Ireland, Kanada, Rusia, Kazakhstan, Mongolia, Guatemala, Argentina, Qatar, Jepun, Cyprus, Indonesia, Taiwan, Sepanyol, Hong Kong, China, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina dan Malaysia merangkumi pasukan dari Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Ainu Sham Ramli serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS