KUCHING: Tiga projek utama naik taraf sistem perparitan di Desa Wira Sinar Budi Baru, Batu Kawa menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, dengan pembinaan kini berjalan lebih awal daripada jadual asal.
Menurut kenyataan media Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada Sabtu, projek-projek yang sedang dijalankan termasuk naik taraf sistem perparitan di Lorong Desa Wira 17B1 & 17B2 dengan kos lebih RM3.54 juta, Lorong Desa Wira 17B3 & 17B4 dengan kos melebihi RM3.27 juta, serta Lorong Desa Wira 17A6 yang melibatkan kos lebih RM4.37 juta.
Ketiga-tiga projek di Lorong Desa Wira mencatatkan kemajuan yang melebihi sasaran awal, di mana Lorong 17B1 & 17B2 mencapai 53.21%, Lorong 17B3 & 17B4 mencapai 58.45%, dan Lorong 17A6 mencatatkan kemajuan sebanyak 43.89%.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, menzahirkan rasa puas hati terhadap kemajuan kerja menaik taraf parit konkrit baharu yang menggantikan parit tanah lama, yang telah wujud sejak lebih 40 tahun lalu.
Beliau turut mengingatkan kontraktor yang terlibat agar mengekalkan standard kualiti tertinggi sepanjang pelaksanaan projek ini, yang dijangka akan memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga projek ini melibatkan pembinaan dan penambahbaikan sistem perparitan sepanjang 3,843.6 meter, dengan jangkaan siap pada Februari 2025.
Dalam kenyataannya, Datuk Amar Dr. Sim turut menekankan bahawa isu perparitan adalah cabaran yang berterusan, terutamanya dengan peningkatan jumlah hujan serta pembangunan pesat di kawasan sekitarnya.
Kerajaan Sarawak katanya terus komited dalam mencari penyelesaian yang berkesan bagi mengurangkan risiko banjir, termasuk membina sebuah kolam takungan di Desa Wira yang menelan belanja RM20 juta.
Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif 'Projek Rakyat', yang dijangka siap dalam tempoh 20 bulan.
Selain itu, dua projek kolam takungan lain di MJC dan Pines Square dengan kos melebihi RM40 juta, turut sedang dijalankan bagi membantu mitigasi banjir di kawasan Batu Kawa. -EDISI UKAS