VTP Platform Transformasi Penduduk Desa Ke Arah Kemajuan

Disiarkan pada 26 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Village Transformation Programme (VTP) Siri 4/2024 Bahagian Kapit merupakan platform yang sesuai untuk mentransformasi rumah panjang dan kampung tradisional menjadi desa yang maju.

Wakil Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Andrew Emparan berkata, kerjasama antara Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) dan CENTEXS amat penting dengan fokus utama memberi kursus, latihan dan pembelajaran kepada para peserta bagi meningkatkan keupayaan berdikari dalam bidang ekonomi dan pembangunan diri.

“Inisiatif ini adalah hasil usaha bersama SIMU dan Pejabat Residen untuk mentransformasi rumah panjang dan kampung tradisional menjadi desa yang maju dalam pelbagai aspek seperti fizikal, ekonomi dan pembangunan modal insan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Village Transformation Programme (VTP) Siri 4/2024 Bahagian Kapit di sini pada Jumaat.

Tambahnya, inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemahiran yang boleh membantu menghasilkan pendapatan tambahan kepada peserta di samping dapat membangun dan memajukan komuniti setempat.

VTP Siri 4/2024 adalah program terakhir bagi tahun ini melibatkan peserta seramai 44 orang dan akan diteruskan pada tahun 2025 di empat lokasi yang berlainan.

Di bahagian Kapit menawarkan dua jenis kursus yang praktikal iaitu Kursus Tanam Secara Fertigasi dan Hidroponik serta Kursus Kraftangan Manik Loom dan Sugu Tinggi. -EDISI UKAS