KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan sentiasa memberikan sumbangan yang signifikan kepada Sarawak dalam merealisasikan aspirasi ekonomi rendah karbon di negeri ini.
Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik, Kumpulan Hubungan Strategik & Komunikasi PETRONAS Siti Azlina Abdul Latif berkata, dalam memenuhi tujuan untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif, PETRONAS menghargai kerjasama yang mendalam dan berkekalan yang didasarkan pada objektif yang sama dan disokong oleh pemahaman, penghormatan serta kepercayaan bersama.
“Mengambil kira pencapaian terkini dalam bidang tenaga yang lebih bersih, kami juga bekerjasama untuk merealisasikan aspirasi Sarawak bagi ekonomi rendah karbon.
“Kerjasama dan perkongsian ini dengan Sarawak mungkin layak untuk mendapat lebih banyak liputan media,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Komunikasi Media Hubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS Jalina Joheng dalam Malam Penghargaan Media Sarawak anjuran PETRONAS di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Siti Azlina menambah, Media Sarawak telah memberikan liputan yang besar terhadap PETRONAS selama ini di mana ia telah banyak membantu usaha untuk berkomunikasi dengan pemegang saham.
Jelasnya, ia telah meningkatkan reputasi PETRONAS, dan secara berterusan membina kekuatan jenama ini semasa mencari peluang dan merancang pertumbuhan serta kemajuan baik di negara ini mahupun di seluruh dunia.
“Oleh itu, kami berkomitmen untuk terus menyokong semua inisiatif, termasuk Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2024 yang akan datang, yang dapat memberi inspirasi kepada bidang ini dengan menetapkan standard yang lebih tinggi untuk kecemerlangan dalam kewartawanan dan aspirasi yang lebih besar tentang apa yang dapat dicapai melalui pelaporan berita yang berkesan,” ujarnya.
Pada malam tersebut, turut disampaikan Anugerah Pengiktirafan Media kepada semua-semua organisasi media yang bertapak di Sarawak sebagai tanda penghargaan daripada pihak PETRONAS.
Turut hadir, Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan PETRONAS Nooruddin Abdullah, Pengerusi Kumpulan Media Sarawak (SMG) Dato Norhyati Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak Dato Jeniri Amir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TVS Kushairi Abang, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Ronnie Teo, Pengurus Besar Kanan (Strategi & Perkhidmatan Korporat) Penghantaran Projek & Teknologi PETRONAS Abang Jimmy Abang Mordian, Pengurus Besar Kanan (Sarawak) Aset Sarawak PETRONAS Noriani @ Yati Mohamad serta para pengamal media. -EDISI UKAS