KUCHING: Perkhidmatan awam yang menekankan inovasi dan integriti di negeri ini merupakan kunci kepada pembangunan Sarawak dalam mencapai visi 2030 sebagai sebuah negeri maju, yang dipacu oleh data dan idea-idea baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, gabungan kedua-dua elemen ini membolehkan perkhidmatan awam di Sarawak terus unggul dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, terutama dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.
Menyifatkan integriti sebagai asas kepada semua pencapaian, beliau menekankan bahawa elemen tersebut dan pengetahuan harus seimbang bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi agar dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Perkhidmatan awam di Sarawak berada dalam kategori tertinggi kerana anda semua bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berintegriti.
“Inilah kekuatan kita dan dengan ini, saya yakin kita mampu menghadapi cabaran yang lebih besar di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2024 di Hotel Pullman pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa Sarawak kini berada di landasan yang kukuh untuk mencapai sasaran pembangunan melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Kecekapan perkhidmatan awam adalah faktor penting dalam merealisasikan visi yang berfokuskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterlibatan rakyat dan keseimbangan pembangunan serta alam sekitar,” tambahnya.
SCSICA merupakan acara kemuncak dalam Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak, lebih dikenali sebagai SCSIMon, yang bermula pada 25 September 2024 dengan tema “Kecemerlangan Penyampaian Perkhidmatan Berteraskan Integriti dan Inovasi.”
Anugerah tahun ini menampilkan 12 kategori yang mengetengahkan usaha dan inovasi luar biasa daripada 50 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang berjaya ke peringkat akhir dalam acara berprestij ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dan dif-dif kehormat yang lain. -EDISI UKAS