Karnival Kesedaran Autisme Pupuk Kesedaran Masyarakat, NGO

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
ISNIN, 22 APRIL 2024

SIBU: Karnival Kesedaran Autisme 2024 memupuk kesedaran masyarakat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk lebih peka mengenai sindrom autisme di samping menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk.
 
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying berkata, individu yang mempunyai sindrom autisme mempunyai bakat istimewa dan kebolehan tersendiri dan memerlukan sokongan masyarakat untuk mengembangkan lagi potensi tersebut.
 
“Dengan sokongan daripada kumpulan masyarakat dan intervensi sedia ada, kanak-kanak autisme boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
 
"Adalah sangat penting untuk kita memahami golongan tersebut bagi membimbing mereka ke arah yang lebih sempurna," ujarnya semasa berucap merasmikan Karnival Kesedaran Autisme Sibu pada Sabtu.
 
Karnival itu dimeriahkan dengan permainan, aktiviti ‘fun walk’, senamrobik serta gerai menjual pelbagai makanan dan minuman.
 
Hadir sama ialah Pengerusi Olimpik Khas Sarawak Bahagian Sibu Pemanca Datuk Jason Tai dan Presiden Persatuan Autisme Sibu (SAA) David Ngu.-EDISI UKAS