KUCHING: Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia yang diadakan di Sarawak pada September yang lalu mencatat satu kejayaan yang luar biasa.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memberitahu, selain daripada perkongsian dan perbentangan yang berguna kepada sistem dan kedudukan speaker DUN mahupun parlimen, persidangan kali ini turut memperincikan tentatif-tentatif yang menarik.
Jelas beliau, ini secara tidak langsung membawa kelainan sekaligus menjadikan persidangan yang dianjurkan di Sarawak pada tahun ini sebagai satu pengalaman baharu kepada mereka yang terlibat.
“Saya sudah hadir dalam beberapa persidangan tersebut di beberapa negeri dan saya berani mengatakan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia yang diadakan di Sarawak pada September adalah yang paling meriah dan hebat,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Petugas Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Mengulas tentatif yang telah disusun sepanjang persidangan tersebut, beliau memberitahu antara kelainan yang dibawa pada kali ini adalah majlis makan malam sambil menyelusuri Sungai Sarawak, lawatan ke Muzium Budaya Borneo dan sebagainya.
Susulan kejayaan ini, beliau tidak menolak kebarangkalian DUN Sarawak akan terlibat dalam penganjuran acara yang lebih besar di peringkat antarabangsa.
“Ini bukanlah kali yang terakhir DUN Sarawak akan diarah mengambil bahagian di mana ada kemungkinan kita akan terlibat dalam acara bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
“Jadi, kita perlu bersiap-siaga apabila temasya ini tiba dan kita harus bersedia dari aspek sambutan, protokol dan sebagainya,” ujar beliau lagi.
Hadir sama, Ketua Ombudsman Sarawak Dato Sri Abdul Ghafur Shariff, Setiausaha Dewan Negara Sujairi Abdullah dan Setiausaha DUN Sarawak Nur Azhar Bujang. -EDISI UKAS