150 Warga Emas Di Sadong Jaya Terima Bantuan

Disiarkan pada 26 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Seramai 150 warga emas sekitar Sadong Jaya telah menerima bantuan menerusi Program Prihatin Kebajikan Koperasi Bersama Komuniti.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mendekatkan masyarakat setempat dengan gerakan koperasi melalui tanggungjawab sosial.

“Saya berharap sumbangan yang diberikan ini dapat memberi manfaat yang besar kepada warga emas di sekitar Sadong Jaya serta dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan,” ujarnya pada program berkenaan.

Beliau bersama wakil Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Kaunselor Salem Benga telah menyampaikan bantuan berupa bakul makanan kepada para penerima di Rumah Kelab Warga Usia Emas di sini pada Jumaat.

Dalam majlis sama, Rodiyah turut mengumumkan kelulusan projek membina bumbung kekal di perkarangan bangunan Kelab Warga Usia Emas tersebut dengan kos sebanyak RM120,000.

Katanya, dengan bumbung kekal itu ia akan memudahkan warga emas dan warga klinik Sadong Jaya mengadakan program dan aktiviti pada masa akan datang.

SKM Cawangan Sarawak juga menyumbangkan sumbangan tunai sebanyak RM5,000 bagi pembelian dan peralatan aktiviti kepada Kelab Warga Usia Emas Sadong Jaya. -EDISI UKAS