MEITD Cadang Setiap Sekolah Di Sarawak Dilengkapi Televisyen Pintar

Disiarkan pada 22 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
ISNIN, 22 APRIL 2024

SIBU: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) mencadangkan agar setiap sekolah di Sarawak dilengkapi dengan televisyen pintar.
 
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, televisyen pintar boleh memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan oleh warga pendidik.
 
“Sebaik-baiknya, kita mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya sekolah yang tidak mempunyai televisyen pintar menerimanya.
 
“Sekiranya kita boleh mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan negeri, kita mahu memastikan setiap sekolah di Sarawak mempunyai akses mudah kepada televisyen pintar untuk guru terutamanya pada zaman teknologi maklumat kini ia adalah satu keperluan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali di Sibu baru-baru ini.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu menambah, setakat ini beliau telah menyumbang sebanyak 36 unit televisyen pintar kepada sembilan sekolah di kawasannya sejak tahun lalu.
 
Turut hadir dalam program itu ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Guru Besar SK Abang Ali Hamdi Nadji dan Pengerusi Persatuan Alumni (Paskaa) SK Abang Ali Datuk Mohamad Yusnar Matalie.-EDISI UKAS