Kejohanan Jombola Sarawak 2024 Dapat Sambutan Menggalakkan

Posted on 25 Oct 2024
Source of News: UKAS


BINTULU: Persatuan Jombola Sarawak telah menganjurkan Kejohanan Jombola Sarawak 2024 Edisi Pertama semepna sambutan Hari Sukan Negara bertempat di Stadium Muhibbah Bintulu pada 19 hingga 20 Oktober lepas.

Kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Phang Leong Ming dan turut dihadiri Presiden Persatuan Jombola Sarawak merangkap ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Seramai 17 pasangan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut yang disertai peserta dari Kuching dan Murum.

Pegerusi Penganjur Dr Ong Kong Swee melahirkan rasa gembira kerana edisi pertama kejohanan mendapat sambutan menggalakkan walaupun sukan itu masih baharu dalam kalangan masyarakat.

Malah beliau berterima kasih kepada Kelab Jombola Daerah Murum yang turut menghantar penyertaan besar.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit dalam membantu menjayakan edisi pertama kejohanan tersebut khususnya Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, Johnny Phang dan Kennedy Chukpai sendiri.

Penyampaian hadiah dan sijil telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Sukan JBS Bintulu, Kigen Sabong yang mewakili Pengarah JBS Sarawak.

Hadiah disampaikan terdiri daripada kategori lelaki, wanita dan beregu campuran yang dibolot oleh Kelab Jombola Murum.

Untuk program seterusnya, Persatuan Jombola Sarawak akan menganjurkan Klinik Pengenalan Jombola kepada para guru di Sarawak dan Labuan.

Klinik tersebut dianjurkan menerusi kolaborasi Jabatan Pendidikan Sarawak dan Persatuan Jombola Sarawak yang akan diadakan pada 14-16 November ini di UPM Bintulu.

Untuk kursus tersebut, dianggarkan seramai 40 guru dari seluruh Sarawak dan 10 dari Labuan akan terlibat. - EDISI UKAS