Konsert Retro Pop Yeh Yeh Gegarkan Kuching November Ini
Posted on 24 Oct 2024
Source of News: UKAS

KUCHING: Mutiara Production House (M) Sdn. Bhd. (MPHSB) bakal menghidupkan semula nostalgia era 60-an menerusi Konsert Retro Pop Yeh Yeh 2024 yang akan berlangsung pada 30 November ini.
Konsert tersebut akan bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam bertempat di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching.
Pengarah Pengurusan MPHSB, Dr. Alim Impira berkata, Konsert Retro Pop Yeh Yeh 2024 diadakan bertujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan muzik dan lagu-lagu era 60-an.
Selain itu, ia juga menjadi landasan untuk menghargai sumbangan para penyanyi dan pemuzik yang membina era kegemilangan muzik ketika itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Stage Of Star, Kuching yang turut dihadiri oleh artis utama Konsert Pop Yeh Yeh 2024, Datuk Jefferydin.
Dr Alim berkata acara ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan MTCP Sarawak atas sokongan berterusan dalam memacu industri kreatif negara, terutamanya melalui ‘Dana Kandungan Kreatif’.
Antara nama besar yang akan membuat persembahan bersama Datuk Jeffrydin pada malam itu nanti ialah Dato L. Ramlie, Rahman Onn, Kugiran MASDO, Haziq Rosebi, A. Rozaini dan Ahmad Yassin.
Tambah beliau lagi, bagi memastikan pengalaman konsert yang eksklusif, tiket dijual mengikut kategori dengan harga yang berpatutan iaitu Cincin Emas: RM420, Mas Mona: RM360, Dinda: RM260, Kenanganku: RM190 dan Dara Pujaan: RM90.
MPHSB berharap agar konsert ini mampu menarik minat generasi muda untuk menghargai muzik retro yang kaya dengan nilai seni dan budaya di mana orang ramai dijemput untuk hadir menyaksikan persembahan penuh nostalgia ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut Pengurus Projek MPHSB, Hasyim Mohd serta ahli kumpulan Kugiran MASDO melalui aplikasi Google Meet. - EDISI UKAS-