KOTA SAMARAHAN: Persidangan Kebangsaan Pedagogi dan Pendidikan Guru Zon Sarawak 2024 (PedaTEd 2024) merupakan platform terbaik untuk berbincang dan berkongsi ilmu dalam kalangan pendidik, pegawai pendidikan serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak.
Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Yahya Sedik berkata, penganjuran persidangan penyelidikan dan inovasi ini bertepatan dengan salah satu hala tuju Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) iaitu 'Kecemerlangan Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi' yang membawa kepada kecemerlangan IPG sebagai Peneraju Pendidikan Guru di Malaysia.
"Pembudayaan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti penyelidikan dan inovasi perlu dipergiat dalam kalangan warga pendidik pada abad ke-21 ini, khususnya di negeri Sarawak.
"Malahan, pendidikan yang berkualiti sememangnya disokong oleh penyelidikan yang berterusan bagi memantapkan ilmu, kemahiran dan kepakaran dalam diri pendidik, iaitu selaku penyelidik dalam pendidikan.
"Warga pendidik dalam abad ke-21 harus bergiat aktif dan melibatkan diri dalam bidang penyelidikan.
"Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan dan penyelidikan saling melengkapi untuk menambah baik amalan pedagogi pendidik, selain melalui penerokaan ilmu dan penemuan baharu yang dapat menyumbang nilai tambah demi kesejahteraan pendidikan di negara ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan PedaTEd 2024 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR) Kota Samarahan di sini pada Khamis.
Yahya menambah, PedaTEd 2024 juga membuka ruang bagi warga pendidik di seluruh Sarawak untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan penemuan baharu dalam bidang pendidikan melalui pembentangan kajian penyelidikan dan inovasi.
Persidangan ini katanya juga bertujuan memperkasakan budaya penyelidikan yang kreatif dan inovatif, sekaligus meningkatkan kualiti penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu.
Hadir sama Pengarah IPGM Kampus Batu Lintang Dr. Abang Ismail Abang Julhi, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Tun Abdul Razak Dr. Noraini Omar, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang Dr. Cindy Wong Chyee Chen, Ketua Jabatan Perancangan, Penyelidikan Dan Inovasi IPGM, Sarawak Dr. Norsarihan Ahmad dan tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS