Ahli Ranting Umpama Akar Kepada PBB

Disiarkan pada 24 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Ahli-ahli ranting umpama akar kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi kekuatan kepada parti untuk terus kekal teguh.

Timbalan Yang di-Pertua PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemenangan di setiap pilihan raya merupakan hasil usaha dan kerja keras dari ahli-ahli yang setia berjuang bersama Parti PBB.

"Kita harus teruskan usaha perkasakan parti ini. Perjuangan kita bukan hanya bertujuan untuk memenangkan calon semasa pilihanraya tetapi politik adalah platform yang dapat membawa manfaat dan membawa perubahan yang baik kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Ranting Tiga Tahun Sekali Sesi 2024-2027 Parti PBB Cawangan N.37 Bukit Saban di sini pada Ahad.

Timbalan Premier Sarawak itu menambah, bagi memperkasakan aktiviti ekonomi melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kawasan Bukit Saban mempunyai peruntukan berjumlah RM60 juta.

Peruntukan ini katanya akan digunakan untuk input dan bantuan bagi aktiviti pertanian seperti kelapa sawit, lada, getah, sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan ayam, khinzir, itik, burung walit, burung puyuh dan lain-lain lagi.

"Kita sudah ada senarai permohonan, akan dimuktamadkan selewatnya Disember ini, akan memberi manfaat dengan kelulusan 1 program untuk 1 isi rumah. Semoga pelaksanaan dapat dimulakan pada awal tahun hadapan," jelasnya.

Mesyuarat Agung Ranting Tiga Tahun Sekali Sesi 2024-2027 Parti PBB Cawangan N.37 Bukit Saban diteruskan di 10 lagi ranting.

Terdahulu, pada 5 dan 6 Oktober 2024, mesyuarat tersebut telah selesai untuk empat ranting iaitu Kampung Hulu Spaoh, Kampung Penggan Spaoh, Kampung Tengah Spaoh dan Kampung Hilir Spaoh.

Setakat ini, sebanyak 14 daripada kesemua 17 ranting di dalam Parti PBB Cawangan N.37 Bukit Saban telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung Ranting Tiga Tahun Sekali Sesi 2024-2027.

Baki tiga lagi ranting dijadualkan mengadakan mesyuarat pada 27 Oktober 2024.