Dua Peraturan Baru Diperkenalkan di bawah Ordinan Alam Sekitar 2023

Disiarkan pada 24 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak terus melangkah maju dalam usaha menangani isu alam sekitar dengan memperkenalkan dua peraturan baharu di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.

Peraturan ini bertujuan untuk menangani peningkatan pelepasan gas rumah hijau serta memastikan alam sekitar terus dilindungi dan dipelihara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, mengumumkan peraturan baharu tersebut semasa sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Sarawak di Majma Event and Convention Centre pada Rabu.

Peraturan pertama, Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2024, bertujuan memastikan juruaudit yang bertanggungjawab terhadap laporan alam sekitar memiliki kelayakan yang tepat dan mematuhi kod etika sedia ada.

Langkah ini katanya penting bagi memastikan syarikat-syarikat bertanggungjawab mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau di Sarawak.

"Dengan peraturan yang diperkenalkan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) ini, kita dapat memastikan proses perlindungan alam sekitar disahkan dan dinilai oleh juruaudit yang berkelayakan," ujarnya.

Peraturan kedua, Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2024 akan mengenakan kawalan ketat terhadap aktiviti pembakaran dan pelepasan gas, khususnya dalam sektor minyak dan gas di Sarawak.

Kawalan ini memerlukan kelulusan daripada NREB untuk memastikan pelepasan gas ke atmosfera dilakukan dengan terkawal, sekaligus mengurangkan pelepasan yang berbahaya.

"Dengan jumlah gas yang banyak di kawasan seperti Bintulu, adalah penting untuk kita mengawal pembakaran bagi mengelakkan pelepasan haba dan pencemaran berlebihan.

“Melalui pemantauan ini, sistem kawalan yang efektif dapat diwujudkan," tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peraturan baharu ini mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab.

Premier Sarawak juga menekankan kerjasama masyarakat dalam membina komuniti yang menghargai alam sekitar adalah kunci kepada masa depan yang mampan.

Sebagai sokongan berterusan terhadap inisiatif alam sekitar, beliau turut mengumumkan pemberian geran sebanyak RM1.5 juta bagi tahun 2025 untuk menubuhkan kelab-kelab alam sekitar di sekolah-sekolah seluruh Sarawak.

Inisiatif ini, yang diusulkan oleh Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, bertujuan memupuk kesedaran alam sekitar dan menggerakkan kejayaan tenaga hijau di negeri ini.

Dalam majlis itu, Premier Sarawak turut menyerahkan replika cek untuk Program Pengambilan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS), di mana pelbagai syarikat komited untuk menyumbang kepada projek-projek alam sekitar di sekolah-sekolah.

Antara yang terlibat termasuk Press Metal (Bintulu) Sdn. Bhd. yang akan menyokong 20 sekolah di Kuching, Samarahan, Padawan dan Lundu dengan sumbangan sebanyak RM40,000; Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd. menyokong lapan sekolah di Kuching dan Betong dengan RM16,000; Chemsain Konsultants Sdn. Bhd. menyumbang RM8,000 bagi empat sekolah di Kuching, Dalat dan Daro; serta Thian Sheng Sdn. Bhd. yang menyumbang RM10,000 untuk lima sekolah di Kuching.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sarawak John Rampai dan tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS