Pelaburan Dalam Kanak-kanak Bentuk Masa Depan Ekonomi & Sosial

Disiarkan pada 24 Oct 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak mengutamakan pelaburan dalam kanak-kanak bagi membentuk masa depan ekonomi dan sosial di rantau ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, melabur dalam kanak-kanak bukan sekadar kewajipan moral, malahan ia adalah keperluan ekonomi.

“Tenaga kerja masa depan yang inovasi dan mampan akan dibentuk oleh keputusan yang kita buat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah ke Majlis Penutupan Persidangan Dasar Sosial Serantau, Asia Timur dan Pasifik di Kuching pada Rabu.

Tegasnya, polisi sosial inklusif penting untuk menangani pelbagai keperluan populasi.

“Kita perlu memastikan kumpulan terpinggir mempunyai akses kepada perlindungan sosial atau mencipta polisi mesra keluarga yang menyokong ibu bapa yang bekerja,” jelas beliau.

Tambahan lagi katanya, pengumpulan data yang kukuh dan penilaian program juga elemen penting dalam membentuk dasar yang relevan dan berimpak.

Dalam hal ini katanya, pelaburan dalam sistem data untuk menjejaki kemajuan dan menyesuaikan strategi mengikut kesesuaian sangat mustahak.

“Kita telah bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam membina Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak untuk melibatkan juara tempatan dalam reka bentuk dan pelaksanaan polisi,” tambahnya.

Justeru, beliau menggesa semua peserta yang menghadiri persidangan tersebut untuk terus menyuarakan kepentingan polisi yang mengutamakan kanak-kanak, terlibat dengan pembuat dasar dan memantau pelaksanaan program sosial di peringkat nasional dan komuniti. - EDISI UKAS